Tazkirah

HTML Tag Reference

Tuesday, September 9, 2008

Pelajar Islam disaran ikuti pengajian perubatan di Mesir

Oleh Rosniza Mohd Taha, Berita Harian 10/9/08
DENGAN pencapaian minimum gred B bagi subjek Sains dan Matematik dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar boleh terus
mengikuti pengajian perubatan di Mesir dan bergelar doktor seawal umur
23 tahun.
Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abdin Ab Kadir, berkata
hanya universiti di Mesir menerima kelayakan asas berkenaan bagi
membolehkan pelajar Malaysia menjalani pengajian bidang kritikal itu
di tujuh universiti tertua negara itu dengan kadar yuran berpatutan.
Katanya, universiti terbabit adalah Universiti Al-Azhar yang berusia
lebih 1,000 tahun, Universiti Cairo (174 tahun), Universiti Mansoura
(44 tahun), Universiti Ain Shams (56 tahun), Universiti Alexandria
(141 tahun), Universiti Tanta (39 tahun) dan Universiti Zaqaziq (41
tahun).
Justeru, Zainal menyarankan lebih ramai pelajar Islam menjadikan Mesir
sebagai negara pilihan bagi mendalami pengajian perubatan dalam usaha
melahirkan generasi baru doktor Muslim.
Beliau menegaskan khazanah dan kepakaran ilmu perubatan di Mesir
setanding dengan negara maju termasuk institut penyelidikannya yang
aktif dan disegani kerana kejayaan menghasilkan penemuan berkualiti
dan bermanfaat untuk masyarakat dunia.
"Mesir adalah pusat universiti tertua di dunia dan ketika ini
mempunyai 750,000 pelajar antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk
7,000 dari Malaysia dan 1,100 daripadanya adalah pelajar pengajian
perubatan, pergigian dan farmasi di 7 universiti terkemuka negara itu.
"Saya berharap lebih ramai pelajar Islam merebut peluang keemasan
mendalami ilmu perubatan di Mesir kerana yuran pengajian yang amat
berpatutan serta kos sara hidup serendah RM500 sebulan.
"Berbanding negara lain yang menetapkan kelulusan matrikulasi atau
A-Level untuk melanjutkan pengajian perubatan, kemasukan ke universiti
di Mesir berdasarkan kelulusan minimum SPM 4B iaitu dalam subjek
Fizik, Kimia, Biologi, Matematik atau Matematik Tambahan.
"Justeru, jika pelajar memulakan pengajian perubatan di negara itu
pada umur 18 tahun, dia akan bergelar doktor semuda 23 tahun jika
mengikuti program pergigian dan 24 tahun bagi perubatan," katanya
kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Zainal berkata, walaupun kebanyakan pelajar di Mesir kini di bawah
tajaan pelbagai agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Mara,
yayasan negeri dan Baitulmal, ramai juga ibu bapa yang menggunakan
wang simpanan sendiri bagi menghantar anak mereka mendalami bidang
perubatan di Mesir.
"Ini satu perkembangan yang membanggakan. Jika tradisi tidak
bergantung kepada bantuan kerajaan diamalkan sejak dulu lagi, lebih
ramai pelajar cemerlang Muslim mendapat manfaat menimba ilmu
pengetahuan di luar negara, namun, banyak penaja bersedia menyokong
pelajar persendirian ini selepas tahun pertama," katanya.
Program pengajian di Mesir dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan
mengambil masa enam tahun bagi perubatan, manakala program pergigian
selama lima tahun. Antara syarikat perunding yang menguruskan
penghantaran pelajar mengikuti pengajian perubatan di negara itu
adalah Medic Mesir.

No comments: